Monday, August 8, 2011

Apabila puasa menjadi sia-sia...


Assalamualaikum wbt dan Salam Ramadhan al-Mubarak...

Ramadhan mengajar erti sabar dan tawaduk. Sahabat-sahabat, salah satu kelebihan Ramadhan adalah ALLAH menutup pintu neraka dengan rapat & membuka pintu syurga seluas-luasnya. Sebenarnya, ALLAH memberi kita peluang untuk memperbaiki diri dan memperbaiki amalan. Namun kadangkala, kita merasakan bahawa kita benar-benar teruji. Sebelum bulan Ramadhan tiba, ada tekad di hati kita bahawa kita tidak mahu hari-hari Ramadhan berlalu tanpa solat terawih.

Bila betul-betul ada dalam situasi tersebut, mulalah nafsu diri membuat kita teruji. Berat badanlah, malaslah mau pergi, sesaklah masjid. Nah, berbagai-bagai pula alasan yang terbit d hati mahupun di mulut. Situasi beginilah yang terjadi. Terdapat juga mereka-mereka yang begitu bersemangat menjalani ibadah puasa. Solat terawih tidak ditinggalkan, malahan tiap malam akan menyusun langkah menuju masjid.

Di sini saya ingin berkongsi dan mahu mempersoalkan. Mungkin kita akan tertanya-tanya pada diri kita. Mudah-mudahan kita bukan tergolong dalam kalangan sedemikian. Janganlah kita merasakan diri kita hebat kerana kita tidak pernah termiss solat terawih. Kerana ada insan yang lebih suka melakukan solat terawih berbanding solat wajib. Tahukah sahabat-sahabat bahawa puasa dan solat terawih yang kita lakukan akan menjadi sia-sia jika kita tidak menunaikan solat wajib 5 waktu. Yang menghairankan, ada yang melakukan solat terawih hinggakan 20 rakaat berturut-turut, tetapi meninggalkan solat 5 waktu yang semuanya 17 rakaat. Rugikan??? Cuba fikir-fikirkan.

Rukun Islam ada lima (5) perkara :

(1) Mengucap dua kalimah syahadat
(2) Sembahyang lima waktu
(3) Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan
(4) Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah)
(5) Menunaikan zakat

Melihat kepada Rukun Islam, perkara-perkara ini merupakan suatu yang WAJIB bagi mereka yang bergelar ORANG ISLAM. Apa yang saya kongsikan disini bukan bermakna mahu melumpuhkan semangat untuk melakukan solat terawih tetapi perkara yang wajib perlu juga disampaikan sebagaimana firman ALLAH s.w.t dalam Surah Al-Asr :

Demi masa. Sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan orang-orang yang menasihati kepada kebenaran dengan penuh kesabaran.

Dimanakah kita mahu meletakkan diri kita??? Sahabat-sahabat, janganlah kita melakukan suatu perkara yang sia-sia. Melakukan yang sunat itu adalah suatu perkara yang baik dan boleh menambah pahala dan ganjaran kita di sana nanti, namun harus diingat bahawa dahulukan yang wajib sebelum melakukan yang sunat. Samalah halnya seperti, menggantikan dahulu puasa wajib yang tidak dapat ditunaikan selama diri uzur, kemudian barulah melakukan perkara-perkara sunat.

Semoga perkongsian yang sedikit ini dapat membantu sahabat-sahabat dalam mencari redha Illahi. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Amin Ya Rabb~



Rasulullah s.a.w: "Ballighu anni walau aayah"
(Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walau hanya satu ayat)