Wednesday, November 2, 2011

Perjalanan Hidup : Perkongsian

Assalamu'alaikum wbt..


Alhamdulillah. Dapat lagi menitip kata pada blog hari ni. Terlalu banyak perkara yang perlu disettlekan lagi. Sepanjang pandangan pada persekitaran hari ini, aku melihat anak-anak muda semakin seronok dengan pemakaian yang kononnya trendy. Kadang-kadang sedih, apakah usaha dakwah yang dilakukan tidak berkesan? Namun, berbalik dari itu, teringat pula bahawa ALLAH tidak menilai hasil. ALLAH menilai sejauh mana tahap kesungguhan hambaNYA dalam berusaha membawa risalah kebenaran.


                                               


Teringat kata-kata seorang senior, dalam melakukan gerakerja ada 4 quadran yang menjadi ukuran kesegeraan. Inilah antara teori Stephen Covey yang cuba aku fahami. Alhamdulillah, dah tahu bezakan mana satu kerja segera yang penting, kerja segera yang tak penting...kerja penting yang segera dan kerja penting yang tak segera. Boleh diaplikasi dalam merancang sesuatu.

Semalam, terdapat perkongsian mengenai John Locke, Rossieu dan Fahmi Reza. Bagi aku, ini perkongsian yang amat bermakna bagi mencapai hak asasi manusia dan keadilan pada semua. Begitu dalam kajian yang dibuat oleh mereka yang mahu kebenaran dibuktikan. Sebagaimana Malaysia ada Bapa Pemodenan, Tun Mahathir Mohamad, ada pula Bapa Sekularisme iaitu Kamal Alartuk, maka apa yang aku nak kongsi disini bahawa John Locke pula Bapa Liberalisasi.

Boleh kita belajar dengan orang sekular, tapi ambil ilmu sahaja. Mana yang bercanggah jangan campurlah. Ilmu itu luas, tetapi ambillah yang bermanfaat. Sebagaimana dalam kampus jugalah, banyak benda keduniaan yang menjadi pokok bicara pensyarah di awal pagi. Bagi yang muslim, sesungguhnya kita mempunyai pegangan kuat terhadapa agama, maka cukuplah dengan hanya mengutip ilmu. Analogi yang mahu dikongsikan agar dapat memahami lebih jelas adalah seperti mahu makan buah nangka. Namun hanya isi diambil, getah dan kulitnya dibuang.


Dakwah, medannya sangat luas walaupun untuk menyebut "dakwah" itu suatu yang sangat faham dan difahami. InsyaALLAH.
^^

Wednesday, October 5, 2011

AKU SUDAH JATUH CINTA....




Bersyukur kehadrat illahi. Setelah sekian lama aku leka dengan duniawi, akhirnya aku sedar dari lamunan ku yang telah melalaikan aku buat sekian lamanya. Tidak pernah ku rasa setenang ini seumur hidupku. Sebelum ini, masa yang ku berikan padaNya terlalu singkat.

Dulu, aku hanya menganggapNya seperti kawan biasa yang kebiasaaannya aku temui di masa-masa yang perlu sahaja. Tetapi hari ini, Dia telah membuka pintu hatiku untuk mengenaliNya lebih rapat, menghabiskan lebih masa bersamaNya. Sungguh aku tenang. Telah ku mohon padaNya agar diberi ruang untuk menjadi kekasihNya walaupun aku sedar aku sebenarnya tidak layak. Aku telah jatuh cinta. Hatiku kini telah dimiliki. Hanya Dia..

Akan ku berikan ayat-ayat cinta padaNya berupa ZIKIR
Akan ku kongsi kisah ku, impian ku, lara/gemibra ku denganNya melalui DOA
Akan ku khusyuk untukNya ketika SOLAT
Akan ku menyanyi untukNya berlirikkan ayat-ayat AL-QURAN

Hari ini, aku BENAR-BENAR jatuh cinta padaMU YA ALLAH..
Engkau Maha Agung..tetapkanlah cintaku ini hanya untuk MU....
Hanya padaMU... ^^

Tuesday, October 4, 2011

99 Langkah Menuju Kesempurnaan Iman


Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera. Dalam mencari keredhaan Illahi, kita sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik di sisi ALLAH. Apa yang ingin dikongsikan kepada pembaca, dalam sedar ataupun tidak dengan mudah kita memperoleh ganjaran daripada ALLAH, asal saja niat kita ikhlas melakukan kerana ALLAH. Segala perbuatan kita menjadi sia-sia apabila perkara rukunnya kita tinggalkan. Sebagai contoh, dalam mendapatkan suatu ganjaran yang berkat, kita hendaklah menunaikan segala suruhan ALLAH seperti yang ada pada Rukun Islam dan Rukun Iman. Di bawah ini adalah antara langkah ataupun tips untuk dikongsikan bersama agar kita sentiasa tahu apa yang perlu kita lakukan dalam mencapai keredhaan Illahi. InsyaALLAH, sama-samalah kita berusaha mengecapinya. Wallahu'alam~

01. Bersyukur apabila mendapat nikmat;

02. Sabar apabila mendapat kesulitan;

03. Tawakal apabila mempunyai rencana/program;

04. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;

05. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;

06. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;

07. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;

08. Jangan dengki dengan kekayaan orang;

09. Jangan hasad dan iri atas kesuksessan orang;

10. Jangan sombong kalau memperoleh kesuksessan;

11. Jangan tamak kepada harta;

12. Jangan terlalu ambitious akan sesuatu kedudukan;

13. Jangan hancur karena kezaliman;

14. Jangan goyah karena fitnah;

15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.

16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;

17. Jangan sakiti ayah dan ibu;

18. Jangan usir orang yang meminta-minta;

19. Jangan sakiti anak yatim;

20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;

21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;

22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);

23. Lakukan shalat dengan ikhlas dan khusyu;

24. Lakukan shalat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;

25. Biasakan shalat malam;

26. Perbanyak dzikir dan do'a kepada Allah;

27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;


28. Sayangi dan santuni fakir miskin;

29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;

30. Jangan marah berlebih-lebihan;

31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan;

32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;

33. Berlatihlah konsentrasi pikiran;

34. Penuhi janji dan mintalah maaf sebab tidak dapat dipenuhi;

35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;

36. Jangan percaya ramalan manusia;

37. Jangan terlampau takut miskin;

38. Hormatilah setiap orang;

39. Jangan terlampau takut kepada manusia;

40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala;

41. Berlakulah adil dalam segala urusan;

42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;

44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;

45. Perbanyak silaturrahim;

46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;

47. Bicaralah secukupnya;

48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;

49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;

50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;

51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;

52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;

53. Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan;

54. Hormatilah kepada guru dan ulama;

55. Sering-sering bershalawat kepada nabi;

56. Cintai keluarga Nabi saw;

57. Jangan terlalu banyak hutang;

58. Jangan terlampau mudah berjanji;

59. Selalu ingat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia sementara;

60. Jauhkan diri dari perbuatan yang tidak bermanfaat

61. Bergaul lah dengan orang-orang soleh;

62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;

63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;

64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;

65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan

66. Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya;

67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;

68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan

69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan.

70. Jangan melukai hati orang lain;

71. Jangan membiasakan berkata dusta;

72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;

73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;

74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;

75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita

76. Jangan membuka aib orang lain;

77. Lihatlah orang yang lebih miskin dan yang lebih berprestasi dari kita;

78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;

79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;

80. Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong karena kaya;

81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara;

82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;

83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;

84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;

85. Hargai prestasi dan pemberian orang;

86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan;

87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.

88. Sediakan waktu untuk bersukan

89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal mental kita menjadi terganggu;

90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;

91. Berusaha untuk melupakan kesalahan orang dan melupakan jasa kita;

92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;

93. Jangan cepat percaya kepada berita sebelum dipastikan kebenarannya;

94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;

95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan

96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;

97. Waspadalah akan setiap ujian. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;

98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan.

99. Jangan gembira di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang

Monday, October 3, 2011

AKHLAK MUSLIM



"Jagalah dirimu dari perkara-perkara yang haram nescaya anda menjadi manusia yang paling 'abid, dan terimalah dengan penuh kerelaan akan pembahagian yang telah ditentukan Allah kepada anda nescaya anda akan menjadi manusia yang paling kaya, berbudilah kepada jiran anda, nescaya anda  menjadi mu'min yang sebenar, dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai anda untuk diri anda sendiri, nescaya anda menjadi seorang muslim yang sebenar, dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa itu akan mematikan hati.(diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari abu Hurairah)

Perintah yang terkandung dalam hadis di atas :

1. Menjauhi perkara-perkara yang diharamkan
Untuk mencapai darjat para muttakim, siddiqin, a'bidin dan solihin, seseorang itu perlu berusaha sedaya upaya menghindari dirinya dari terjerumus ke dalam perkara-perkara maksiat dan haram seperti makanan, minuman, perbuatan, tutur kata, .pendengaran, penglihatan dan tindakan.Usaha bagi menghindari perkara-perkara ini amatlah rumit kerana ia biasanya begitu hebat mempersonakan keinginan dan kecenderungan hati.

2. Relakan kurniaan dari Allah
Untuk mencapai ketenteraman jiwa, seseorang muslim itu haruslah membentuk sifat-sifat qanaah(berpada) sifat tidak tamak dan haloba dalam memenuhi keperluan hidup apabila ia merasa cukup dan rela serta bersyukur maka ia merasa dirinya selaku orang yang paling kaya di dunia.

3. Hubungan baik dengan jiran
Untuk mencapai ketenteraman sosial setiap Muslim haruslah menjalankan hubungan yang baik dan mesra dengan jiran tetangga kerana mereka adalah kelompok manusia yang paling hampir dengan kita selain ahli keluarga yang lain.

4. Cintakan orang lain Islam adalah agama kasih sayang dan damai dari kekusutan hidup. Oleh itu setiap Muslim haruslah menaruh rasa kasih sayang terhadap orang lain sama dengan perasaan kasih terhadap dirinya sendiri. Apa yang tidak disukainya berlaku kepada dirinya harus pula tidak disukainya berlaku pada orang lain.

5. Jangan banyak ketawa
Ketawa pernah disifatkan sebagai "ubat jiwa". Akan tetapi sesuatu ubat akan berubah menjadi racun apabila berlebihan akan membuatkan seseorang itu tidak serius dalam kerja dan kehidupannya dan membuatkan hati nuraninya mati dalam keseronokan dan fikirannya tidak tajam dengan banyak ketawa. Barangsiapa banyak ketawa didunia dia akan menangis di akhirat dan barangsiapa menangis di dunia dia akan ketawa di akhirat.

Tuesday, September 27, 2011

CABARAN WANITA MUSLIM




"Dakwah secara umumnya ditakrifkan sebagai menyeru orang kepada jalan Allah s.w.t. atau kepada menghayati ajaran agama Islam. Islam adalah satu ad-diin, yakni satu cara hidup berdasarkan kepada ajaran yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. Islam adalah agama kebenaran yang memberi asas bagi menjamin keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup manusia.

Mengamalkan ajaran Islam melahirkan seorang yang beriman dan mengabdikan dirinya kepada Allah s.w.t., yakni mempercayai akan Allah serta tunduk kepada-Nya dengan menurut perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan suatu masyarakat yang hidup dalam keadaan bermoral, berdisiplin serta adil dan aman.Setiap wanita Islam mesti komited kepada agamanya dan mempraktikkan cara hidup yang Islamik.

Selain daripada melaksanakan rukun Islam dan menghayati rukun Iman, wanita Islam juga mesti mengetahui adab perhubungan dengan kaum lelaki; hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan berkeluarga seperti hal perkahwinan, tanggungjawab suami dan isteri, perhubungan ibu bapa dan anak-anak dan perhubungan dengan saudara-mara yang lain; serta peraturan hidup seharian dari segi pemakanan, berpakaian, pembelajaran, pekerjaan, urusan wang dan harta, dan sebagainya.

Persiapan diri dalam bidang agama

Wanita muslim perlu mempersiapkan diri mereka dari segi spiritual, mental dan fizikal ke tahap yang terbaik mungkin supaya mereka dapat menghadapi dan melaksanakan perjuangan mereka dengan efisien dan efektif. Tiga aspek utama yang perlu diberi perhatian termasuklah persiapan :
  • (i) iman

  • (ii) ilmu

  • (iii) akhlak
Iman
Keimanan yang kuat akan mewujudkan jiwa yang berkeyakinan, bernilai dan mempunyai daya gerak diri sendiri sehingga mereka dapat melaksanakan tugas-tugasnya tanpa merasa takut, cemas, gentar dan tanpa terlampau mempersoalkan keuntungan dunia yang akan diperolehi. Iman yang mantap dapat dicapai dengan memahami serta menghayati rukun iman

Ilmu
Ada dua jenis ilmu yang dituntut oleh setiap individu Muslim iaitu :
  • ilmu aqliah yakni ilmu fardhu `ain (bererti yang tentu dan pasti) yang menyentuh soalan-soalan tentang siapa dan apakah manusia itu, apakah asal dan kesudahannya dan apakah sifat hubungannya dengan manusia lain, dengan alam sekelilingnya dan dengan Tuhan, serta merangkumi hukum-hukum wajib,haram, sunat dan makruh melalui sumber-sumber Al-Quran, As-Sunnah, ijtihad dan ijmak ulama;

  • ilmu naqliah yakni ilmu fardhu kifayah (bererti ilmu yang mencukupkan atau melengkapkan kehidupan) yang merujuk kepada segala jenis ilmu berkenaan kehidupan yang diperlukan untuk kesejahteraan sesebuah masyarakat seperti ilmu perubatan, pertanian, perniagaan, kejuruteraan, masakan, jahitan dan sebagainya.

Individu berilmu akan mempunyai sifat-sifat berikut :
  • ia berpengetahuan, mampu berfikir,menggunakan ilmu yang ada untuk menerima dan menghadapi masalah serta menyelesaikannya

  • ia berkemahiran, menjadi bijak serta mempunyai daya pemikiran yang tersusun secara sistematik, lantaran dapat menjalankan tugas-tugasnya dengan baik

  • ia mempunyai akhlak - sikap, budi pekerti yang luhur, yang boleh menjamin keselamatannya dan mereka yang ada di sekelilingnya.


Akhlak
Akhlak ialah segala gerak dan langkah yang berkait dengan perhubungan dan pertuturan atau cara laku seseorang berinteraksi dengan individu ataupun makhluk lain dalam apa jua keadaan. Sementara personaliti atau peribadi ialah cara seseorang memperlihatkan dirinya yang memberikan gambaran imej atau identitinya. Sifat-sifat personality yang positif seperti riang, suka bekerjasama, ramah mesra, cergas, rajin, peka, bertanggungjawab, berani,sabar dan amanah.Peribadi yang baik dapat dibentuk dengan dua syarat:
  • mesti mempunyai kemampuan untuk berperibadi tinggi

  • ada sebab atau keyakinan tentang kenapa mesti mempunyai peribadi yang cemerlang iaitu sebab pertama ialah kerana Allah s.w.t dan sebab kedua ialah peribadi yang baik akan membuatkan ia seorang yang bahagia dan bersifat aman dan damai. Personaliti seseorang individu yang cemerlang dapat juga dinatijahkan daripada kemantapan iman dan ketinggian ilmu dan akhlaknya.

Peranan wanita dalam gerakan dakwah
Wanita seharusanya memainkan peranan dakwah yang lebih berkesan dalam masyarakat. Ini memandangkan kerana:

  • potensi mereka sebagai hampir separuh daripada populasi,

  • kedudukan mereka sebagai ibu yang berterusan mendampingi anak-anaknya,

  • penglibatan mereka sebagai isteri yang mampu mewujudkan sistem sokongan kepada perjuangan suami-isteri,

  • peranan mereka sebagai pembawa lambang Islam melalui pakaian mereka

  • potensi keintelektualan mereka yang mampu membawa risalah Islam di peringkat mental yang tinggi dan membentuk ummah yang bertaqwa, melaksanakan tugas dan tanggungjawab

  • komunikasi efektif antara individu

  • berfikir tinggi, kreatif, kritikal dan analitikal

  • menyelesaikan masalah dan konflik secara bijaksana.


Maka, setiap wanita seharusnya melibatkan diri dalam organisasi dakwah se-awal yang mungkin supaya pengalaman berorganisasi dalam dapat mendedahkan kepada pelbagai kemahiran kepimpinan Islam tidak menghalang wanita daripada berinteraksi dengan kaum lelaki dengan syarat:
  • maruah dan dirinya dijaga iaitu mereka tidak bersendirian di tempat yang gelap dan sunyi yang boleh mendatangkan fitnah atau menggugat keselamatannya

  • percakapannya tidak lemah-lembut sehingga boleh menimbulkan nafsu, pakaiannya menutup aurat dan tidak mengghairahkan

  • mereka berinteraksi dengan mempunyai tujuan yang khusus dan baik dan bukannya hanya untuk bersuka-ria.

Cabaran wanita dalam bidang kerjaya
Wanita muslim professional pasti melalui proses pembelajaran sama ada secara formal di institusi pengajian atau secara informal dalam satu jangkamasa yang agak lama. Islam tidak melarang wanita profesional daripada memberi partisipasi yang aktif di luar rumah selagimana martabat dan maruah mereka dijaga; keimanan dan ketaqwaan mereka tetap diperkukuhkan; dan tujuan bekerja kerana hendak mencari keredhaan Allah s.w.t. serta membantu membangunkan umat Islam yang lain. Sejarah Islam telah meriwayatkan beberapa sahabiyat yang bergerak aktif umpamanya:

  • Sayyidatina Khadijah bekerja sebagai peniaga

  • Nusaybah Ummu Ammarah berjuang semasa Peperengan Uhud

  • Asma' AbuBakar memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah

  • Sayyidatina Aisyah sebagai seorang ilmuan Quran, hadith, faraid, fiqh kedoktoran dan syair.

Penglibatan dan perkhidmatan wanita professional dalam masyarakat juga diperlukan terutamanya untuk membantu dan membangun hal-ehwal yang berkaitan dengan wanita dari segi peribadi, rumahtangga, kesihatan, pendidikan dan sosial. Contohnya memberi bantuan dan kaunseling kepada wanita yang bermasalah disebabkan penceraian, ketagihan dadah, keruntuhan moral dan seumpamanya. Sebaik-baik orang yang dapat membantu menyelesaikan masalah wanita adalah wanita sendiri. Wanita lebih memahami keperluan, cita rasa, sikap dan tingkahlaku orang sejenisnya. Ini membolehkan wanita mendapatkan penyelesaian sesuai dengan nalurinya.

Seorang wanita muslim yang ingin melangsungkan perkahwinannya mestilah dengan tujuan yang baik serta melalui proses-proses yang dibenarkan syarak umpamanya ia berkahwin dengan seorang lelaki muslim yang warak dan sekufu dengannya, meminta mahar yang tidak membebankan pihak lelaki, mengadakan kenduri yang sederhana dan tidak berunsurkan maksiat. Sebagai isteri yang solehah ia akan menjaga kehormatan dirinya serta harta suaminya dan mematuhi perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak melanggar hukum syarak. Perkahwinan yang diredhai ialah yang dilandaskan kepada agama Islam dan kebahagiaan rumahtangga dapat dikecapi dengan membina kasih-sayang, hormat-menghormati, faham-memahami dan toleransi di antara satu sama lain. Secara tradisinya wanita memainkan dua peranan penting iaitu sebagai isteri dan ibu, dan sebagai anggota masyarakat. Wanita yang berkeluarga wajib mendapat keizinan daripada suaminya untuk bekerja di luar rumah dengan memilih kerjaya yang sesuai dengan nalurinya sehingga tidak menjejaskan sifat kewanitaan, maruah dan keselamatan dirinya. Mereka terpaksa memberikan banyak pengorbanan tenaga dan masa untuk menguruskan rumahtangga di samping menjalankan tanggungjawab di tempat kerja dan berdakwah. Oleh itu mereka perlu sentiasa tabah dan pandai menghadapi sebarang tekanan jiwa, mental dan fizikal. Untuk membolehkan mereka bergerak secara lebih efektif dan efisien mereka mesti mempunyai:
  • disiplin diri dan masa yang konsisten

  • pengurusan masa yang baik

  • keimanan yang tinggi.

Wanita professional yang berkeluarga juga harus meminta bantuan daripada kaum lelaki supaya mengambil bahagian yang lebih aktif untuk melaksanakan kerja rutin dan manual di rumah, lantaran mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh kaum wanita. Contohnya tugas-tugas yang memerlukan tenaga fizikal diberikan kepada kaum lelaki seperti mencuci lantai, memesin rumput, berbelanja di pasar atau kedai, dan sebagainya.

Semasa ibu-ibu sibuk di dapur, para bapa bolehlah melayani anak-anak mereka, pastikan mereka sudah mandi, buat kerja sekolah dan lain-lain lagi. Hal ini tidak lagi dipandang kekok oleh masyarakat jika dibandingkan di zaman dahulu di mana kaum lelaki yang membantu kerja-kerja rumah dianggap isterinya "queen control".

Kaum bapa harus menukar sikap dengan menerima sebahagian tugas rumahtangga sebagai sebahagian tanggungjawab mereka. Anak-anak juga harus dilatih supaya lebih berdikari dan bertanggungjawab dengan meminta mereka menjalankan kerja-kerja ringkas di rumah seperti mengangkat bungkusan sampah dari dapur, menyediakan dan membersihkan tempat makan, mengangkat pinggan sendiri, terlibat dengan mengemas dan membersihkan rumah dan sebagainya.

Wanita bekerja yang berumahtangga dan mempunyai anak perlu mengatur hidupnya serta menentukan prioriti supaya perkara-perkara yang patut dilaksanakan tidak terabai. Perlu juga diingatkan bahawa masyarakat memerlukan juga khidmat dan sumbangan daripada kaum wanita dalam bidang professional, perkhidmatan dan sosial untuk melayani dan memenuhi keperluan wanita dalam pelbagai bidang sosio-ekonomi, kesihatan, pendidikan dan politik. Yang berkebolehan, berkelayakan haruslah tampil ke depan dan diberi peluang serta sokongan oleh masyarakat. Sebagai kesimpulannya wanita Islam yang professional boleh dilihat dari sudut yang positif. Dengan adanya wanita professional kita:
  • menyumbang tenaga manusia untuk pembangunan masyarakat;

  • meningkatkan lagi status wanita dan memajukan diri kita sebagai insan intelek

menjamin bahawa hal-ehwal dan keperluan wanita amnya diberi perhatian dan layanan

Monday, September 12, 2011

Dugaan...


Sementelah kesabaran merungkai hati, akhirnya segalanya sudah terlepas...Alia begitu kurang sabar hinggakan dirinya mengalah dan melangkah pergi sambil berkata, "aku dah tak mau join group assignment ni". Dia memikirkan ada banyak lagi assignment yang perlu disiapkan bersama groupnya itu. Hatinya yang panas dan beremosi, cuba dikurangkan dengan istighfar. Apa benar yang aku lakukan.? Biarlah assignment itu aku lakukan di tempat yang lain. Alia bukan tidak melakukan kerjanya itu. Namun dia cuba melakukan kedua-dua tugasan dengan baik yang sememangnya menjadi tanggungjawabnya. Tetapi, mungkin tiada yang memahami sehinggakan dia merasakan keserasian antara dia dan groupnya sudah makin pudar. Kerja itu bakal disiapkannya walaupun dia merasa sakit berdepan dengan group tersebut. Terima kasih pada sahabatku yang membantuku. Maafkan aku jika sikapku membuatkan kamu terpalit dalam masalahku. Bisik hati kecilnya.

Ya ALLAH, sungguh engkau begitu memahami hati nurani hambaMU. Sungguh, aku tetap berjuang demiMU walau begitu besar ujian yang ENGKAU berikan. Hati ini tetap mahukan kekuatan untuk berdiri semula dengan kesabaran. Ya ALLAH, mungkin hati ini begitu sombong. Maka inilah balasan darimu yang aku terima. Mudahkanlah segalanya bagiku. Sungguh Ya ALLAH, tiada dayaku tanpa bantuanMU. Amin~

Monday, August 8, 2011

Apabila puasa menjadi sia-sia...


Assalamualaikum wbt dan Salam Ramadhan al-Mubarak...

Ramadhan mengajar erti sabar dan tawaduk. Sahabat-sahabat, salah satu kelebihan Ramadhan adalah ALLAH menutup pintu neraka dengan rapat & membuka pintu syurga seluas-luasnya. Sebenarnya, ALLAH memberi kita peluang untuk memperbaiki diri dan memperbaiki amalan. Namun kadangkala, kita merasakan bahawa kita benar-benar teruji. Sebelum bulan Ramadhan tiba, ada tekad di hati kita bahawa kita tidak mahu hari-hari Ramadhan berlalu tanpa solat terawih.

Bila betul-betul ada dalam situasi tersebut, mulalah nafsu diri membuat kita teruji. Berat badanlah, malaslah mau pergi, sesaklah masjid. Nah, berbagai-bagai pula alasan yang terbit d hati mahupun di mulut. Situasi beginilah yang terjadi. Terdapat juga mereka-mereka yang begitu bersemangat menjalani ibadah puasa. Solat terawih tidak ditinggalkan, malahan tiap malam akan menyusun langkah menuju masjid.

Di sini saya ingin berkongsi dan mahu mempersoalkan. Mungkin kita akan tertanya-tanya pada diri kita. Mudah-mudahan kita bukan tergolong dalam kalangan sedemikian. Janganlah kita merasakan diri kita hebat kerana kita tidak pernah termiss solat terawih. Kerana ada insan yang lebih suka melakukan solat terawih berbanding solat wajib. Tahukah sahabat-sahabat bahawa puasa dan solat terawih yang kita lakukan akan menjadi sia-sia jika kita tidak menunaikan solat wajib 5 waktu. Yang menghairankan, ada yang melakukan solat terawih hinggakan 20 rakaat berturut-turut, tetapi meninggalkan solat 5 waktu yang semuanya 17 rakaat. Rugikan??? Cuba fikir-fikirkan.

Rukun Islam ada lima (5) perkara :

(1) Mengucap dua kalimah syahadat
(2) Sembahyang lima waktu
(3) Berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan
(4) Menunaikan haji ke Baitullah (Mekah)
(5) Menunaikan zakat

Melihat kepada Rukun Islam, perkara-perkara ini merupakan suatu yang WAJIB bagi mereka yang bergelar ORANG ISLAM. Apa yang saya kongsikan disini bukan bermakna mahu melumpuhkan semangat untuk melakukan solat terawih tetapi perkara yang wajib perlu juga disampaikan sebagaimana firman ALLAH s.w.t dalam Surah Al-Asr :

Demi masa. Sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan orang-orang yang menasihati kepada kebenaran dengan penuh kesabaran.

Dimanakah kita mahu meletakkan diri kita??? Sahabat-sahabat, janganlah kita melakukan suatu perkara yang sia-sia. Melakukan yang sunat itu adalah suatu perkara yang baik dan boleh menambah pahala dan ganjaran kita di sana nanti, namun harus diingat bahawa dahulukan yang wajib sebelum melakukan yang sunat. Samalah halnya seperti, menggantikan dahulu puasa wajib yang tidak dapat ditunaikan selama diri uzur, kemudian barulah melakukan perkara-perkara sunat.

Semoga perkongsian yang sedikit ini dapat membantu sahabat-sahabat dalam mencari redha Illahi. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lepas. Amin Ya Rabb~



Rasulullah s.a.w: "Ballighu anni walau aayah"
(Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walau hanya satu ayat)