1433H, insyaALLAH akan kita dekatinya beberapa jam sahaja lagi. Andai ada rasa inginkan perubahan yang baik, itulah hidayah daripada ALLAH. Sahabat-sahabat, hidayah itu datang hanya sekali. Manfaatkanlah sepenuhnya.
Dalam perkongsian usrah sebelum maghrib, hatiku terdetik untuk membuat suatu yang baru pada diri sendiri. Pengisian itu membuatkan aku tertarik dengan istilah antara suka dan perlu. Sebagai muslim, kita "perlu" untuk bangun subuh, melaksanakan subuh setiap hari. Namun masih ramai yang gagal melakukan sedemikian, termasuklah diri yang lemah ini. Kerana, kita "suka" untuk meneruskan tidur. Ermhh, memang terasa dan terisi.
Firman Allah dalam sura ar-Raad 11 :
Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan suatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap suatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia”.
Inilah bukti ALLAH menyampaikan pada kita bahawa suatu perubahan itu perlu juga kita lakukan, bukan atas dasar suka-suka ya. Sebagai mukmin sejati kita harus faham bahawa kehidupan kita di dunia ini akan dituai di akhirat sana. Maka, perlu kita fikirkan, apalah bekalan yang kita bawa ke sana?? Peluang untuk kita membuat perubahan pada diri perlu kita manfaatkan selagi roh masih dalam jasad.
Sebenarnya, boleh saja hari-hari kita mulakan azam baru bagi mencapai suatu matlamat setelah bermuhasabah diri. Tapi, bagi akulah kan, hijrah ni adalah benchmark untuk kita menilai diri sendiri setakat manakah kita. Apakah kita menzalimi diri sepanjang tahun ataupun kita ada usaha untuk menjadi yang lebih baik. Apakah perkara yang kita lakukan untuk memastikan landasan kita sentiasa ada pada jalan yang betul dan sebagainya..? Jawapan ini ada pada diri kita.
Semoga benchmark kali ini, kita menghitung satu persatu perubahan yang kita lakukan dari segi lahiriah, batiniah, rohaniah dan paling penting adalah nawaitu. Nawaitu yang bukan kerana ALLAH adalah perkara yang sia-sia. Segala yang kita penuhi kerana ALLAH semata-mata, tunggulah ganjarannya di sana. InsyaALLAH.

No comments:
Post a Comment