Friday, May 20, 2011

Dialog Rasulullah S.A.W dengan Iblis Laknatullah

Allah swt telah memerintahkan seorang Malaikat berjumpa Iblis untuk menyampaikan perintah ALLAH, supaya dia (Iblis) berjumpa dengan Rasulullah saw untuk memberitahu segala rahsianya; samada yang disukai mahupun yang dibencinya.Hikmatnya ialah untuk meninggikan darjat Nabi Muhammad saw dan juga sebagai peringatan dan perisai kepada umat manusia.



Maka Malaikat itu pun berjumpa Iblis dan berkata, "Hai Iblis! Bahawa Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar menyuruh engkau menghadap ke hadrat Rasullullah saw. Hendaklah engkau buka segala rahsia engkau dan apa-apa yang disoal oleh Rasulullah hendaklah engkau jawab dengan sebenar-benarnya. Jikalau engkau berdusta walau satu perkataan pun, nescaya akan diputuskan segala suku-suku anggota badanmu, uratmu serta disiksa dengan azab yang amat keras".

Mendengar sahaja kata Malaikat yang dahsyat itu, Iblis sangat ketakutan. Maka segeralah dia menghadap Rasulullah saw dengan menyamar sebagai seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih 10 helai; panjangnya seperti ekor lembu.

Iblis pun memberi salam, sehingga 3 kali, namun salamnya tidak juga dijawab oleh Rasulullah saw. Maka sembah Iblis, "Ya Rasulullah! Mengapa tuan hamba tidak mejawab salam hamba? Bukankah salam itu sangat mulia di sisi Allah?" Maka jawab Nabi dengah marah "Hai Aduwullah seteru Allah! Kepada aku engkau menunjuk baikmu? Jangan engkau cuba hendak tipu aku sebagimana engkau tipu Nabi Adam a.s sehingga keluar dari syurga Habil mati teraniaya dibunuh Qabil dengan sebab hasutan engkau, Nabi Ayub engkau tiup dengan asap racun ketika dia sedang sujud sembahyang hingga dia sengsara beberapa lama, kisah Nabi Daud dengan perempuan Urya, Nabi Sulaiman meninggalkan kerajaannya kerana engkau menyamar sebagai isterinya dan begitu juga beberapa Anbiya dan pendita yang telah menanggung sengsara akibat hasutan engkau.

Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia di sisi Allah azza wajalla, cuma salam engkau saja aku tidak hendak menjawabnya kerana diharamkan Allah. Maka aku kenal baik-baik engkaulah Iblis, raja segala iblis, syaitan dan jin yang menyamar diri. Apa kehendak engkau datang berjumpa aku?" Sembah Iblis, "Ya Nabi Allah! Janganlah tuan hamba marah. Kerana tuan adalah Khatamul Anbiya' maka tuan dapat kenal akan hamba. Kedatangan hamba adalah disuruh Allah untuk memberitahu segala tipu daya hamba terhadap umat tuan dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman. Ya Nabi Allah! Setiap apa yang tuan tanya hamba sedia menerangkan satu persatu dengan sebenarnya, tiadalah hamba berani sembunyikan." Maka Iblis pun bersumpah menyebut nama Allah dan berkata "Ya Rasulullah! Sekiranya hamba berdusta barang sepatah pun nescaya hancur leburlah badan hamba menjadi abu" Apabila mendengar sumpah Iblis itu, Nabi pun tersenyum dan berkata dalam hatinya, inilah satu peluang aku untuk menyiasat segala perbuatannya agar didengar oleh sekelian sahabat yang ada di majlis ini dan menjadi perisai kepada sekelian umatku.

Soalan Nabi Pertama > "Hai Iblis! Siapakah sebesar-besar musuh engkau dan bagaimana aku terhadap engkau?" Jawab Iblis "Ya Nabi Allah! Tuanlah musuh hamba yang paling besar di antara segala musuh hamba di muka bumi ini" Maka Nabi pun memandang muka Iblis, dan Iblis pun mengeletar kerana ketakutan. Sambung Iblis,"Ya Khatamul Anbiya! Adapun hamba dapat merupakan diri hamba seperti sekelian manusia, binatang dan lain-lain hingga rupa dan suara pun tidak salah sepertinya, kecuali diri tuan sahaja yang tidak dapat hamba tiru kerana ditegah oleh Allah. Kiranya hamba menyerupai diri tuan, maka terbakarlah diri hamba menjadi abu. Hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya menjadi kafir kerana tuan berusaha memberi nasihat dan pengajaran supaya mereka kuat untuk memeluk agama Islam; begitu jugalah hamba berusaha menarik mereka kepada kafir, murtad atau munafik. Hamba akan tarik sekelian umat Islam dari jalan benar kepada jalan yang salah supaya masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya bersama hamba".

Soalan Nabi ke 2 > "Hai Iblis! Betapa perbuatanmu kepada makhluk Allah" Jawab Iblis "Adalah satu kemajuan bagi perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya, setengahnya hingga mengeluarkan benih yang salah sifatnya. Hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang, leka dengan makan minum, berbuat durhaka, hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan permata, rumahnya, tanahnya, ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan ke jalan haram. Demikian juga ketika temasya yang bercampur lelaki perempuan. Di situ hamba lepaskan sebesar - besar godaan supaya hilang maruah dan minum arak. Apabila terminum arak itu maka hilanglah akal, fikiran dan malunya. Lalu hamba hulurkan tali cinta dan terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar, datang perasaan hasad dengki hingga kepada pekerjaan zina. Apabila terjadi kasih antara mereka, terpaksalah mereka mencari wang hingga menjadi penipu, peminjam dan pencuri. Apabila mereka teringat akan salah mereka lalu hendak bertaubat atau amal ibadat, hamba akan galang mereka supaya mereka menangguhkannya. bertambah keras hamba goda supaya menambahkan maksiat dan mengambil isteri orang. Bila kena goda hatinya, datanglah rasa riak, takbur, megah, sombong dan melengahkan amalnya. Bila pada lidahnya, mereka akan gemar berdusta, mencela dan mengumpat. Demikianlah hamba goda mereka setiap saat."

Soalan Nabi ke 3 > "Hai Iblis! Mengapa engkau bersusah payah dan berpenat melakukan pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bahkan menambahkan laknat yang besar serta siksa yang besar di neraka yang paling bawah? Hai kutuk Allah! Siapa yang menjadikan engkau? Siapa yang melanjutkan usia engkau? Siapa yang menerangkan mata engkau? Siapa yang memberi pendengaran engkau? Siapa yang memberi kekuatan anggota badan engkau?" Jawab Iblis "Sekelian itu adalah anugerah daripada Tuhan Yang Maha Besar juga. Tetapi hawa nafsu dan takbur menceburkan hamba menjadi sebesar-besar jahat. Tuan lebih tahu bahawa hamba telah beribu-ribu tahun menjadi ketua kepada sekalian Malaikat dan pangkat hamba telah dinaikkan dari satu langit ke satu langit yg tinggi. Kemudian hamba tinggal di dunia ini beribadat bersama sekelian Malaikat beberapa lama. Tiba-tiba datang firman Allah SWT hendak menjadikan seorang Khalifah di dunia ini, maka hamba pun membantah. Lalu Allah mencipta lelaki (Nabi Adam) lalu dititahkan sekelian Malaikat memberi hormat kepada lelaki itu, kecuali hamba yang ingkar. Oleh itu Allah murka kepada hamba dan muka hamba yang cantik molek dan bercahaya itu bertukar menjadi keji dan hodoh. Hamba berasa sakit hati. Kemudian Allah menjadikan Adam raja di syurga dan dikurniakan seorang permaisuri (Siti Hawa) yg memerintah sekelian bidadari. Hamba bertambah dengki dan berdendam kepada mereka. Akhirnya dapat juga hamba tipu melalui Siti Hawa yang menyuruh Adam memakan buah Khuldi, lalu keduanya dihalau dari syurga ke dunia. Kedua mereka berpisah beberapa tahun dan kemudian dipertemukan Allah (di Padang Arafah), hingga mereka mendapat beberapa orang anak. Kemudian kami hasut anak lelakinya Qabil supaya membunuh saudaranya Habil. Itu pun hamba masih tidak puas hati dan berbagai tipu daya hamba lakukan hingga Hari Kiamat. Sebelum tuan lahir ke dunia, hamba serta bala tentera hamba dengan mudah dapat naik ke langit untuk mencuri segala rahsia serta tulisan yg menyuruh manusia berbuat ibadat serta balasan pahala dan syurga mereka. Kemudian hamba turun ke dunia, dan memberitahu manusia yang lain daripada apa yang sebenarnya hamba dapat, dgn berbagai tipu daya hingga tersesat dengan berbagai kitab bidaah dan karut-marut. Tetapi apabila tuan lahir sahaja ke dunia ini, maka hamba tidak dibenarkan oleh Allah untuk naik ke langit serta mencuri rahsia, kerana banyak Malaikat yang menjaga di setiap lapisan pintu langit. Jika hamba berkeras juga hendak naik, maka Malaikat akan melontar dengan anak panah drp api yang menyala. Sudah banyak bala tentera hamba yang terkena lontaran Malaikat itu dan semuanya terbakar menjadi abu. Maka besarlah kesusahan hamba dan tentera hamba untuk menjalankan tugas hasutan."

Soalan Nabi ke 4 > "Hai Iblis! Apakah yang pertama engkau tipu akan manusia?" Jawab Iblis "Pertama sekali hamba palingkan iktikadnya imannya kepada kafir sama ada dari segi perbuatan, perkataan, kelakuan atau hatinya. Jika tidak berjaya juga, hamba akan tarik dengan cara mengurangkan pahala. Lama-kelamaan mereka akan terjerumus mengikut kemahuan jalan hamba"

Soalan Nabi ke 5 > "Hai Iblis! Jika umatku sembahyang kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis "Sebesar-besar kesusahan kepada hamba. Gementarlah badan hamba dan lemah tulang sendi hamba. Maka hamba kerahkan berpuluh-puluh iblis datang menggoda seorang manusia, pada setiap anggota badannya. Setengah-setengahnya datang pada setiap anggota badannya supaya malas sembahyang, was-was, terlupa bilangan rakaatnya, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat habis solat, hilangkan khusyuknya, matanya sentiasa menjeling ke kiri kanan, telinganya sentiasa mendengar orang brcakap serta bunyi-bunyi yang lain. Setengah Iblis duduk di belakang badan orang yang sembahyang itu supaya dia tidak kuasa sujud lama-lama, penat atau duduk tahiyat dan dalam hatinya sentiasa hendak cepat habis sembahyang itu, semua membawa kepada kurang pahala. Jika para Iblis itu tidak dapat menggoda manusia itu, maka hamba sendiri akan menghukum mereka dengan seberat-berat hukuman"

Soalan Nabi ke 6 > "Jika umatku membaca Al-Quran kerana Allah, apalah rasa engkau?" Jawab Iblis "Jika mereka membaca Al-Quran kerana Allah, maka rasa terbakarlah tubuh hamba, putus-putus segala urat hamba lalu hamba lari daripadanya."

Soalan Nabi ke 7 > "Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, bagaimana rasa engkau?" Jawab Iblis "Binasalah diri hamba, gugurlah daging dan tulang hamba kerana mereka telah mencukupkan rukun Islamnya"

Soalan Nabi ke 8 > "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa. Yang menghancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka. Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekalian Malaikat dengan garangnya menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah menunggu kami. Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa"

Soalan Nabi ke 9 > "Hai Iblis! Bagaimana sekelian sahabatku kepada engkau?" Jawab Iblis "Sekelian sahabat tuan hamba juga adalah sebesar- besar seteru hamba. Tiada upaya hamba melawannya dan tiada satu tipu daya yang dapat masuk kepada mereka. Kerana tuan sendiri telah berkata yang "Sekelian sahabatku adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk." Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum bersama tuan lagi, hamba tidak dapat hampir kepadanya inikan pula setelah berdamping dengan tuan. Beliau begitu percaya atas kebenaran tuan hingga dia menjadi wazirul a'zam. Bahkan tuan sendiri telah mengatakan jika ditimbang sekelian isi dunia ini dengan amal kebajikan Abu Bakar, maka akan lebih berat amal kebajikan Abu Bakar. Tambahan pula dia telah menjadi mertua tuan kerana tuan berkahwin dengan anaknya, Saiyidatina Aisyah yang juga banyak menghafaz Hadis tuan. Saidina Umar Al-Khattab pula tidaklah berani hamba pandang akan wajahnya kerana dia sangat keras menjalankan hukum syariat Islam dengan saksama. Jika hamba pandang wajahnya, maka gementarlah segala tulang sendi hamba kerana sangat takut. Ini kerana imannya sangat kuat apalagi tuan telah mengatakan, "JIKALAU adanya Nabi sesudah aku maka Umar boleh menggantikan aku" kerana dia adalah orang harapan tuan serta pandai membezakan antara kafir dan Islam hingga digelar 'Al-Faruq'. Saidina Usman Al-Affan lagi hamba tidak boleh hampir, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Al-Quran. Dia penghulu orang sabar, penghulu orang mati syahid dan menjadi menantu tuan sebanyak dua kali. Kerana taatnya, banyak Malaikat datang melawat dan memberi hormat kepadanya kerana Malaikat itu sangat malu kepadanya hingga tuan mengatakan,"Barang siapa menulis Bismillahir rahmanir rahim pada kitab atau kertas-kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala seperti pahala Usman mati syahid" Saidina Ali Abi Talib pun itu hamba sangat takut kerana hebatnya dan gagahnya dia di medan perang, tetapi sangat bersopan, alim orangnya. Jika iblis, syaitan dan jin memandang beliau, maka terbakarlah kedua mata mereka kerana dia sangat kuat beribadat serta beliau adalah budak pertama memeluk agama Islam dan tidak pernah menundukkan kepalanya kepada sebarang berhala. Digelar 'Ali Karamullahu Wajhahu' - dimuliakan Allah akan wajahnya dan juga 'Harimau Allah' dan tuan sendiri berkata "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya". Tambahan pula dia menjadi menantu kepada tuan, lagilah hamba ngeri kepadanya.

Soalan Nabi ke 10 > "Bagaimana tipudaya engkau kepada umatku?" Jawab Iblis "Umat tuan itu ada tiga macam. Yang pertama seperti hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuhan iaitu ulama' yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah serta meninggalkan laranganNya seperti kata Jibrail a.s "Ulama' itu adalah pelita dunia dan pelita akhirat" Yang kedua umat tuan seperti tanah iaitu orang yang sabar, syukur dan redha dengan kurniaan Allah. Berbuat amal soleh, tawakal dan kebajikan. Yang ketiga umat tuan seperti Firaun; terlampau tamak dengan harta dunia serta dihilangkan amal akhirat. Maka hamba pun sukacita lalu masuk kedalam badannya,hamba putarkan hatinya ke lautan derhaka dan hamba hela ke mana sahaja mengikut kehendak hamba. Jadi dia sentiasa bimbang kepada dunia dan tidak hendak menuntut ilmu, tiada masa beramal ibadat, tidak hendak mengeluarkan zakat, miskin hendak beribadat. Lalu hamba godanya minta kaya dulu, dan apabila diizinkan Allah dia menjadi kaya, maka dilupakan beramal, tidak berzakat seperti Qarun yang tenggelam dengan istana mahligainya. Bila umat tuan terkena penyakit tidak sabar dan tamak, dia sentiasa bimbang akan hartanya dan setengahnya asyik hendak merebut dunia harta, cakap besar sesama Islam, benci dan menghina kepada yang miskin, membelanjakan hartanya untuk jalan maksiat, tempat judi dan perempuan lacur"

Soalan Nabi ke 11 > "Siapa yang serupa dengan engkau?" Jawab Iblis "Orang yang meringankan syariat tuan hamba dan membenci orang belajar agama Islam"

Soalan Nabi ke 12 > " Siapa yang mencahayakan muka engkau?" Jawab Iblis "Orang yang berdosa, bersumpah bohong, saksi palsu, pemungkir janji"

Soalan Nabi ke 13 > "Apakah rahsia engkau kepada umatku?" Jawab Iblis Jika seorang Islam pergi buang air besar serta tidak membaca doa pelindung syaitan, maka hamba gosok-gosokkan najisnya sendiri ke badannya tanpa dia sedari"

Soalan Nabi ke 14 > "Jika umatku bersatu dengan isterinya, bagaimana hal engkau?" Jawab Iblis "Jika umat tuan hendak bersetubuh dengan isterinya serta membaca doa pelindung syaitan, maka larilah hamba dari mereka. Jika tidak hamba akan bersetubuh dahulu dengan isterinya, dan bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya. Jika menjadi anak maka anak itu akan gemar kepada pekerjaan maksiat, malas pada kebaikan, durhaka. Ini semua kerana kealpaan ibu bapanya sendiri. Begitu juga jika mereka makan tanpa Bismillah, hamba yang dahulu makan daripadanya. Walaupun mereka makan, tiadalah rasa kenyang."

Soalan Nabi ke 15 > "Dengan jalan apa boleh menolak tipu daya engkau?" Jawab Iblis "Jika dia berbuat dosa, maka dia kembali bertaubat kepada Allah, menangis kesal akan perbuatannya. Apabila marah segeralah mengambil air sembahyang, maka padamlah marahnya."

Soalan Nabi ke 16 > "Siapakah orang yang paling engkau lebih suka?" Jawab Iblis "Lelaki dan perempuan yang tidak mencukur atau mencabut bulu ketiak atau bulu ari-ari(bulu kemaluan) selama 40 hari. Di situlah hamba mengecilkan diri, bersarang, bergantung, berbuai seperti pijat pada bulu itu"

Soalan Nabi ke 17 > "Hai Iblis! Siapakah saudara engkau?" Jawab Iblis "Orang yang tidur meniarap, orang yang matanya celik di waktu subuh tetapi menyambung tidur semula. Lalu hamba ulit dia lena hingga terbit fajar. Demikian jua pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak, hamba beratkan hatinya untuk solat"

Soalan Nabi ke 18 > "Apakah jalan yang membinasakan diri engkau?" Jawab Iblis "Orang yg banyak menyebut nama Allah, bersedekah dengan tidak diketahui orang, banyak bertaubat, banyak tadarus Al-Quran dan solat tengah malam"

Soalan Nabi ke 19 >"Hai Iblis! Apakah yang memecahkan mata engkau?"Jawab Iblis "Orang yang duduk di dalam masjid serta beriktikaf di dalamnya"

Soalan Nabi ke 20 > "Apa lagi yang memecahkan mata engkau?" Jawab Iblis "Orang yang taat kpd kedua ibubapanya, mendengar kata mereka, membantu makan-pakai mereka selama mereka hidup, kerana tuan telah bersabda, 'Syurga itu di bawah tapak kaki ibu' "

> Melalui perkongsian ini, saya harap sangat semoga kita fahami apa yang disampaikan. Semoga kita mempunyai niat dan dapat melaksanakan perubahan yang baik kita mahu capai. Tidak rugi mengikut panduan, tapi rugi bilamana kita langsung tidak mahu mencari cahaya Illahi. Perkongsian ini, amatlah bermanfaat supaya kita tidak terpesong dari matlamat sebenar menjadi khalifah d muka bumi Tuhan...wallahu'alam bissawab~

Nasihat Imam Al-Ghazali

Suka saya berkongsikan nasihat ini. Bila baca dengan penghayatan, semua ini benar belaka dan bertepatan dengan hidup kita sekarang. Macam-macam ada kan?? hehehe... Jom, baca sama-sama..harap dapat kita praktikkan dalam hidup, supaya tiada ruginya nanti... ^_^


Menjawab 6 Soalan

1. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia?

2. Apa yang paling jauh dari kita di dunia?

3. Apa yang paling besar di dunia?

4. Apa yang paling berat di dunia?

5. Apa yang paling ringan di dunia?

6. Apa yang paling tajam di dunia?



JAWAPAN >>> 

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al Ghazali bertanya....
Soalan yang pertama,"Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab "orang tua,guru,kawan,dan sahabatnya". Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "MATI". Sebab itu sememangnya janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran 185)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua.... "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid - muridnya menjawab "negara China, bulan, matahari dan bintang -bintang". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan itu adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "MASA LALU". Walau dengan apa cara sekalipun kita tidak dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga.... "Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya menjawah "gunung, bumi dan matahari". Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "NAFSU" (Al A'Raf 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?". Ada yang menjawab "besi dan gajah". Semua jawapan adalah benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "MEMEGANG AMANAH" (Al Ahzab 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka karena ia tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima: "Apa yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab "kapas, angin, debu dan dedaunan". Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita meninggalkan solat, gara-gara bermesyuarat kita meninggalkan solat. Gara-gara update facebook, buat assignment, blogwalking, kita juga tertinggal dan ada yang sengaja meninggalkan solat. (moga kita bukan seperti itu)

Dan pertanyaan keenam adalah, "Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak, "pedang". Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "LIDAH MANUSIA" Karena melalui lidah, Manusia selalunya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri. Lidah juga membuat sesebuah institusi kekeluargaan menjadi porak peranda. Wallahu'alam~

Sunday, May 15, 2011

Manisnya "Epal"

Pandangan mata selalu melulu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itu yg hakiki,
Kalau hati itu bersih.
Tapi hati bila dikotori, bisikannya bukan lagi kebenaran,
Maka utamakanlah pandangan ALLAH dari pandangan manusia ~Hijjaz

Lagu berkumandang di bilik Aemy. Dibawah kipas berhabuk, di atas katil yang hapak (asrama) aku mengungkap bisikan hati, seakan-akan mahu berteriak tadinya.

Epal itu manis. Tapi, jika ada yang mengatakan sebegitu, si pendengar hanya tahu tanpa penghayatan. Kenapa? Sebab, orang yang jadi pendengar, hanya mendengar sahaja tanpa merasa bagaimana manisnya epal.



Kampusku kian sepi & kosong. Tugas kami mengumpul barangan terpakai untuk tujuan derma semasa aktiviti jelajah dakwah yang bakal dijalankan oleh Lajnah Tarbiah dan Pendidikan, buku terpakai untuk Lajnah Kebajikan dan Akademik dan barangan terbuang seperti baldi-baldi dan hanger untuk Lajnah Pembangunan dan Keusahawanan hampir siap. Kerja yang hampir 2 hari kami buat. Fuhhh. Ayang, jangan angkat kalau terlalu berat, amaranku pada sahabatku yang asyik mengangkat barang yang sangat berat. Kesian tengok dia.

“Muslimat power”, kata Amirah. Sue, kuat sikit. Kata-kata semangat dari sahabatku bila tengok aku angkat kotak yang terkandung buku Calculus yang sangat tebal. Bagi aku, semut yang seekor tidak mampu untuk mengangkat butiran-butiran gula walau hanya 10gram. Kita dalam gerakerja harus dalam kebersamaan. Sejuk sedikit hati bila terfikirkan perkara ini. Ya, memang sangat sakit bila bekerja sorang-sorang. Biarlah sakit di sini, jangan di sana sakitnya menimpa.

Teringat kata-kata Akhi Shazni Munir, nak rehat di mana? Rehat di dunia atau di sana? Siapa yang tidak menginginkan rehat selamanya di negeri abadi? Fahamlah kami bahawa perjuangan itu tidak pernah berhenti walaupun sedetik. Pemikiran pada perjuangan kena sentiasa berputar, nonstop. Aku kagum dengan akhi tu. Pernah dengar cerita dari seorang akhi bahawa, akhi S.M pernah menyatakan rugi untuk tidur. Sebab dia ingin terus memikirkan Islam, nonstop.

SubhanALLAH, begitu hebat tarbiyah yang diperolehnya.
Perjuangan itu tidak pernah terhenti walau sesaat. Memang bibir mudah berkata dari anggota yang melaksanakan. Penat & perit, Ya ALLAH beri aku kekuatan yang hebat.

Aku tahu bahawa Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
(Surah Al-Baqarah 286) 

Semua itu perlu untuk mengejar mardhatillah. Semoga hatiku dan sahabat-sahabat terus istiqamah membawa perjuangan. Semoga cuti semester kali ini memberi jutaan pengalaman bagiku. Bukan mudah untuk menerima  keseronokan dalam persahabatan dan perjuangan. Amat berbeza. Amat bersyukur pada iLLahi kerana terpilih merasakan ‘epal’ yang manis. ^_^

Saturday, May 14, 2011

Pencinta Syurga yang Pemalu

Malu aku mengaku, aku sebagai pejuang. Sungguh malu aku mengaku aku seorang yang tegar. Sungguh amat memalukan bila aku menggelarkan diriku pejuang yang inginkan syahid, namun aku gagal melawan kehendak nafsu yang menggoda, memalaskan dan menjadikan aku berat untuk bangkit.

Malu aku bilamana ada perkara yang aku arahkan belum pula aku lakukan. Malu aku bila gagal berjuang melawan kepayahan bangun qiam dan subuh. Sungguh aku malu. Malunya rasa hati bila melaungkan takbir dengan penuh semangat andai fizikalku tidak bersemangat. Hipokrit. Kejam pada diri.
Aku akan dilaknat surah As-Saff :

2. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak melakukannya!
3. Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu
yang kamu tidak melakukannya.

Malu aku bila berhadapan dengan ramai, aku berani untuk tampil, namun aku takut untuk bersuara. Malu aku untuk menggagahi diri bertanyakan sesuatu yang kurang ku ketahui, sedang aku mengaku aku memperjuangkan syiarNYA, (bukankah pejuang syiar itu berani dalam apa keadaan sekalipun? ). Bertanya pun aku takut dan malu, apatah lagi berhadapan dengan musuh-musuh yang amat bengis wajahnya. L

Malunya aku. Bila pergerakan seperti seorang yang hebat, seperti orang yang berani. Padahal memegang senjata saja aku takut, kononnya nanti cedera, luka dan terhiris. Malunya aku bila lidahku petah berkata-kata. Menyeru kepada itu dan ini. Namun, aku berat jua melakukan. Sungguh memalukan. Konon mengaku ingin syahid.

Malu aku, andai nanti ditanya DIA. Apa harus ku jawab? Malu aku berhadapan dengan DIA. Malu juga aku berhadapan dengan kekasihNYA, sedangkan aku telah berjanji pada DIA, untuk membawa bebanan dakwah dan syariatNYA dan menyambung tugasan kekasihNYA, namun tiada apa yang aku sumbangkan lagi.

Malu aku bila mendengar kisah-kisah sahabat perjuangan yang hebat menentang kezaliman, boikot itu dan ini, bersuara menentang mungkar. Sedangkan aku hanya melakukan tentangan sebesar biji sawi. Ahhh, aku takut... Adakah aku takut aku akan dibenci orang?  Adakah aku takut untuk disingkirkan dari kalangan masyarakat? Adakah aku takut kerana aku bakal hilang segala-galanya dari sisiku? Adakah kerana aku takut akan kehilangan insan-insan yang sangat aku sayangi?

Ya ALLAH, lemahnya aku. Seperti hadis Rasulullah s.a.w, penyakit wahan bakal menimpa umat akhir zaman. Ya, akulah antara umat akhir zaman. Namun, aku tidak mahu menjadi golongan itu. Aku tidak mahu meramaikan golongan itu. Aku tidak mahu menjadi salah seorang dari golongan itu. Aku langsung tidak mahu.

Ada sesuatu yang perlu aku laksanakan. Aku sangat perlu melaksanakan itu untuk mencapai mardhatillah. Aku perlu juga melakukan itu untuk menggapai cinta Illahi. Aku mesti melaksanakan sesuatu sepertimana yang aku cita-citakan iaitu menjadi antara para syuhada, menjadi antara golongan syurga bersama kekasihNYA yang juga aku cintai. Aku mahu menjadi golongan syurga yang sentiasa bahagia selamanya di sana.

Aku perlu bangkit untuk mendampingiNYA, memperoleh cintaNYA, mendapatkan tempat disisiNYA. Aku teringat kata-kata seorang sahabat:

Untuk dptkan syurga Allah, kena terima ujian. Untuk terima ujian,kena hadapi cabaran. Untuk hadapi cabaran,kena lakukan perubahan. Untuk lakukan perubahan,kena sentiasa bergerak & berkerja. Ramai org nak kn ujian utk dpt syurga, tp msh tidak bergerak & bekerja,memang pelik. Aku menjawab, ketakutan masih lagi menyelubungi diri. Masih dalam cengkaman takut. Kita harus keluar dari kepompong ketakutan.

Ya, masih ada takut menyelubungi. Lidah kata yakin, minda juga yakin, namun hatiku berat. Ya ALLAH...aku malu. Aku juga teringat kata-kata seorang mantan yang baru aku kenali tapi memberi semangat yang tinggi pada generasi-generasinya. Kita ini berjuang, kena bergerak, kena berperang. Jangan hanya hebat berkata-kata dalam blog, facebook. Jangan hanya petah berkata benci pada kezaliman sedangkan diri tidak bergerak di alam realiti. Memang benar kata-kata mereka. Pembakar semangat bagi aku.

Sungguh, tiadalah daya kekuatanku melainkan dengan bantuanMU, Ya ALLAH. Mengharap agar maluku juga menjadi pembakar semangat pada diri untuk bangkit dan istiqamah memperjuangkan amar makruf nahi mungkar, moga syurga milikku pastinya, InsyaALLAH.

Allah Ghoyatuna,                                          Allah adalah tujuan kami,
Ar Rasul Qudwatuna,                                   Rasulullah teladan kami,
AlQuran Dusturuna,                                     AlQuran pedoman hidup kami,
AlJIhadu Sabiluna,                                       Jihad adalah jalan juang kami,
AlMautu Fisabilillah,                                    Mati di jalan Allah adalah,
Asma’Amanina~                                         Cita-cita kami tertinggi.



Friday, May 13, 2011

Untukmu, C.I.N.T.A

Cinta...apa itu cinta?
Cinta...
Cinta itu adalah perasaan yang lahir automatik, fantastik...
Gembira, tertawa, tersenyum, termenung... elemen yang tiba-tiba timbul...hehehe
Indahkah cinta ini??
Jika indah, kenapa ada yang menangis?

Cinta...
Hebatkah cinta??
Ya, hingga ada yang terlupa makan...syok melayan perasaan..syok melayani hati..berbunga-bunga..
Menantikan hari-hari penuh ceria dan cerita...terkadang melalaikan jika terlalai...

Cinta,
Membawa keasyikan, yang pahit jadi manis, yang racun jadi madu...(hahaaa)..
Cinta..cinta...
Kata guruku dulu, kalau tersepak batu mengatakan batu yang buta...
Tapi bila dah lama bersama, tersepak batu katakan mata yang buta... (hahahaa)

Cinta...
Tahukan kita, bahawa cinta itu anugerah Illahi...
Cinta, bila mencintai seseorang, jangan memberikan 100% cinta padanya...
Kasihanilah dirimu wahai Cinta...
100% padanya, akan jadi 0% pada dirimu...

Oh Cinta,
Jika hanya 1% padanya...ada lagi 99% padamu...
Masih ada lagi...
Andai dirimu kecewa, tidaklah jiwamu keluh kesah, gelisah...menyalahkan diri dan kecewa pada diri..
Cinta yang bagaimana??
Jika kita hanya memikirkan cinta kita pada si dia, bagaimana pula dengan DIA??
Bukankah DIA Maha Cemburu, bila hambaNYA mencintai yang lain dari DIA?

Cinta,
Kita hamba yang kerdil, hasil Rahman dan RahimNYA...
Kita bernafas hasil dari cinta-kasihNYA..
Kita meniti jalan luas yang penuh duri juga dengan cinta-kasihNYA..
Kita berfikir juga dengan cinta-kasihNYA...
Kita juga menanti cintaNYA yang abadi...
Adapun DIA mencintai insan bernama Muhammad...
Kita juga mencintai Muhammad...
Kita cuba meniru seperti baginda, agar kita juga akan dicintaiNYA...


Cinta,
Jangan terlalu sedih bila dirimu dikecewakan...
Nantikan sinar cahaya yang pasti DIA hantar untukmu...
Nantikan bahagia yang bakal menyinarimu...
Tunggu saja saatnya, pasti sampai padamu...
Pasti...
Jangan kalah dengan insan yang mengecewakanmu...
Jangan kalah...bangkitlah wahai Cinta...

Cinta,
Ketahuilah, bahawa DIA memberi ujian padamu...
Agar engkau sentiasa ingat kepadaNYA...
Agar CemburuNYA bertukar CintaNYA...
Pasti, akan dilimpahkan CintaNYA kepadamu...
Dengan kehadiran insan yang juga sentiasa ingat dan mencintaiNYA, untuk bersamamu..nanti..
Cinta, tunggu saja saatnya...pasti... (^_^)v

Sabda Rasullulah s.a.w.: "Tiga perkara yang apabila terdapat pada diri seseorang maka ia akan mendapat manisnya iman, yakni: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada yang lain; mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka" (HR. Bukhari dan Muslim)

Cinta Berunsurkan Unsur (^_^)v

Aku : Kasihku, ketumpatan cintaku padamu ialah
jisim hatiku di bahagi isipadu jantungku.
Masihkah kau tidak membuat sebarang anggapan??

Mu : Aku tidak percaya kepadamu kerana kau ada
kekasih baru untuk
menjalankan tindak balas penggantian ke atas
diriku.

Aku : Kau jangan salah ertikan kecerunan garis
lurus hatiku ini, kerana aku
dan dia masih lagi unsur dan bukannya sebatian.

Mu : Tapi, aku berasa seperti kasihmu berkadar
songsang dengan kesetiaan yg
kuberikan.

Aku : Tapi, cintaku padamu adalah pemalar!

Mu : Aku masih belum mengerti lagi kerana
penyelesaian yang kau berikan
masih lagi belum sahih.

Aku : Tapi, aku mengamalkan hukum newton ketiga
di mana tindak balas cintaku
bersamaan dengan cinta yg kau berikan.

Mu : Kau jangan bohong! Aku telah mengetahui
bahawa kau adalah 'random' yg
mempunyai janji-janji manis yg bergerak secara
rawak.

Aku : Itu adalah fitnah yg telah tersebar melaui
proses pencaran dan
perolakan.

Mu : Tetapi, mengapa kau membuat tempoh
perkahwinan kita mengalami
rintangan?

Aku: Aku harus menggunakan perintang boleh laras
untuk mengurangkan
rintangan itu.

Mu: Adakah kita akan berpadu secara kimia?

Aku: Itu masih belum diketahui, tetapi hasilnya
nanti dapat dilihat dengan
menggunakan mikroskop cahaya.

Mu: Aku khuatir kau akan bertemu dengan yg lebih
aktif dan bertindak balas
dengannya.

Aku: Nampaknya, kita sedang bercinta tiga segi
dan haruslah menggunakan
hukum-hukum penyelesaian segi tiga untuk
menyelesaikannya.

Mu: Tapi, aku telah memberi cintaku dalam
magnitud
dan arahnya sekali. Masihkah
kau tidak percaya?

Aku: Ya, aku percaya. Tetapi aku mahu semua itu
dalam bentuk lazim.

Mu: Itu semua boleh diabaikan, yang aku mahu
ialah
tempoh perkahwinan kita
harus mengalami pecutan yg seragam.

Aku: Kau harus bersabar, kerana sabar itu 0.5
dari iman.

Mu: Tapi, imanku adalah infiniti!

Aku: Aku tidak fikir yang iman kau infiniti
kerana kau blum mendarabkannya
dengan 6x10'23.

Mu: Kau membuat kemarahanku meruap-ruap. Nanti
bila tekanan ku melebihi
tekanan udara, kau jugakk yg susah kerana aku
akan mengalami hemolisis.

Aku: Aku sekarang bukan aku yg dulu lagi, aku
telah mengalami plasmolis.

Mu: Kau betul-betul menyakitkan hatiku ini. Ku
sangkakan kau intan, tetapi
rupa-rupanya kau grafit. Pergi kau dari sini.
Biarkan aku sendirian........

Nilai Wanita...

Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai. Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah.

Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak  cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari
keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan.

Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya. Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.

Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung
pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka. Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan.

Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran:

"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan." An-Nahl:53

Play, Pause & Stop

Kelembutan bukan kelemahan...

Kau digelar sebagai penyeri dunia,
Hadirmu melengkap hubungan manusia,
Bukan saja dirindui yang biasa,
Malah Adam turut sunyi tanpa Hawa.

Akalmu senipis binaan rambut tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu...
Jua hatimu bak kaca yang rapuh kuatkanlah ia dengan iman yang teguh...

Tercipta engkau dari rusuk lelaki,
Bukan dari kaki untuk dialasi,
Bukan dari kepala untuk dijunjung,
Tapi dekat dibahu untuk dilindung,
Dekat jua dihati untuk dikasihi,
Engkaulah wanita hiasan duniawi.

Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok,
Jika datangnya dari kayu yang bengkok begitulah peribadi yang dibentuk,
Didiklah wanita dengan keimanan bukannya harta ataupun pujian kelak tidak derita berharap pada yang binasa...
Engkaulah wanita istimewa

Sedarilah insan istimewa bahawa kelembutan bukan kelemahan bukan jua penghinaan dari Tuhan bahkan sebagai hiasan kecantikan...

Lagu yang memberi  semangat wanita... Ingat, kita selaku wanita bukanlah insan yang lemah tau...Jadi kalau jumpa lelaki yang cuba nak menghanyutkan, lelaki tersebut bukanlah insan yang baik untuk kita jadikan sahabat ataupun calon... (hehehe)
Lelaki yang baik tidak akan membawa insan yang disayanginya pada jalan yang tak baik. Dan kalau nak tau, wanita ada 3 butang istimewa yang boleh control diri. Naqibah aku bagitau, dan mungkin kita boleh aplikasikan juga...InsyaALLAH...

Wanita ni bukanlah makhluk untuk di buli, disakiti kerana wanita adalah makhluk istimewa, buktinya ada kat lirik lagu kat atas ni..hehhehee... Benarlah, wanita harus dididik dengan iman bukan dengan harta. Rasanya lirik ni bagitau kita secara tersirat..Kalau dapat bongkar dan fahami maksudnya, Alhamdulillah. Kita sedia maklum, harta kekayaan bersifat sementara, sama juga seperti pujian..Kecantikan yang dipuja-puji tu bersifat sementara sebab kalau dah kerepot, bukan cantik namanya dah..cantuk..hehhehe...bukti secara logic bahawa kecantikan adalah suatu yang tidak kekal.  Sememangnya wanita solehah adalah perhiasan dunia. Bila wanita solehah dah berumah tangga, mereka akan lahirkan putera-puteri yang beriman dan akhirnya menjadikan bumi ni indah dengan corak-corak keimanan. SubhanALLAH..

Mengenai 3 butang tu, PLAY, PAUSE & STOP bermaksud wanita mampu control daripada berlakunya suatu yang kurang baik antara berlainan jantina. Bila ada insan yang ingin berkongsi ilmu atau berkongsi benda-benda yang baik, cuba fikirkan butang mana satu yang kita kena pilih dan tekan? Bila ada insan yang cuba lari dari topik perbincangan, anda mungkin akan tahu butang mana yang perlu ditekan... Dan jika ada insan yang cuba memperlekehkan kehormatan atau cuba membawa anda dalam ruang fantasi bercampur bisikan syaitan, sungguh..jangan dipilih butang PLAY, nescaya binasa nantinya. Sebab, tangan bertepuk sebelah tidak akan berbunyi.

Sekian saja perkongsian mengenai butang PLAY, PAUSE & STOP...

Aku Bagaikan Kelawar DiSinar RahmatMu

" Hisablah dirimu sebelum dihisab". "Kecamlah dirimu sebelum dirimu
sendiri dikecam Allah".
" Anggaplah dirimu sebagai orang yang paling berdosa". " Kalau
ditakdirkan semua manusia masuk kedalam syurga kecuali seorang….aku
rasa akulah yang seorang itu."

Demikian titipan mutiara kata orang yang hampir dengan Tuhan. Pegangan
diri para Rasul, Nabi dan Wali.

Kerana keyakinan itu lahirlah manusia seperti:
Abu Bakar - yang merasakan dirinya lebih hina daripada sehelai rumput; Umar - yang merasakan nasib seekor anjing lebih bernasib baik daripada dirinya;
Abu Huzaifah- yang sentiasa curiga dengan iman dan islamnya;
Salman al-farisi- yang merasakan maut sentiasa memburunya.

Kini kuasah rasa itu yang datang cuma sekali-sekala. Rasa yang bukan
selalu bertandang di dalam hati. Bukan mudah menghinakan diri di depan
Allah. Amat payah menekan ego dan bangga ke paras bawah. Jarang diri
mahu luahkan kata-kata pahit yang terlalu sakit untuk didengar.

Kini ku adukan, mengapa sangat memberat langkah ini menuju Allah ?
Mengapa diri seperti ditolak ke belakang dalam perlumbaan menuju
khairat(kebaikan) dan maghfirah (pengampunan)? Mengapa hati terhijab lagi
dari taufik dan pimpinan? Mengapa hati masih tertipu oleh bujukan
nafsu, terpesona dengan nikmat dunia ? mengapa fikiran seakan
tersumbat, jiwa lesu dan jasad memberat di jalan jihad ?

Ya Allah, masih adakah lagi petunjukMu buat insan yang derhaka
sepertiku? Kulakukan dosa dalam sedar dan yakin KAU Maha Melihat. Aku lawan kehendakMu terang-terangan. Ya Allah, alangkah besarnya kederhakaanku kepadaMu. Ya Allah jauhkan aku dari kekufuran dan nifaq seperti jauhnya Timur dan Barat….

Oh, aku tersepit, terhimpit diruang sempit. Di antara dua rasa yang
tidak menentu. Buat baik kurasa derita, buat jahat terasa siksa. Ku cuba
membenci dunia tetapi kecintaan akhirat belum terasa. Mujahadahku
memberat, sarat dengan pelbagai rintangan. Ammarah dan lawwamah silih
berganti membunuh kecintaan Ilahi yang datang sekali-sekala. Mungkar
dan maksiat menenggelamkan secebis nikmat yang pernah dikecap dari munajat dan doa.

Inilah rintihan, oleh hati yang kian tertekan. Dari diri yang amat
resah, amat gelisah. Jiwa disayat dek sembilu tajam. Terbenam di dalam
luka yang paling dalam. Membuak darah, membengkak nanah yang parah.
Bisanya sampai ke hulu hati. Membakar jiwa yang gersang daripada semua
ketenangan dan ketenteraman. Dunia dipandang gelap. Walau mentari,
bulan dan bintang masih menebar sinar..tetapi matahati sudah nanar. Jiwa kian buta. Kian goyah taufik dan hidayah….

Oh..mengapa sehitam itu lorong hidupku.
Ku cari punca masalah hingga tafakurku terganggu jemu. Apakah ini
pencarian sesat memberat penat ? Apakah ini resah rasa yang makin
menanah mendenyut bisa ? Telahku tinggalkan permulaan jalan, telah
habis dayaku melangkah tetapi hujungnya masih jauh. Aku sesat dalam rimba
keliru beribu liku. Apakah aku yang berjalan atau jalan yang berjalan ?
Aku sangsi. Aku mahu lari ke hujung dunia. Mahu ku lontar jauh-jauh
Pilu dan duka ini. Mahu ku banting masalah yang memeningkan ini. Biar duka yang membengkak ini pecah…Biar memancut bisanya yang bergaul pedih. Aku tidak peduli.

Kadang aku termenung meminta jawapan hati kepada semua ini. Di mana
puncanya? Di mana tapak mula semua keserabutan ini. Aku mengadu kepada
Allah. Dia menjawab melalui sabda Rasul-Nya:

" Sesungguhnya yang dikatakan dosa itu ialah sesuatu yang mendatangkan
keresahan hati"

Tetapi pelik aku mungkiri janji itu. Aku langgar lagi pantang larangNya.
Ku tempuh lagi jalan dosa. Aku tidak punya kekuatan untuk bertindak. Aku
terbelenggu oleh nafsuku. Dan ketika itu datangkan firman Allah ini
mengingatkan :
" Apakah tidak kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
Tuhan"

Ku baca berkali-kali firmanMu itu. Aku bertuhankan nafsuku? Bunyinya
amat pedih dan pahit.

Ya Allah aku sakit…sembuhkanlah. Ya Allah aku lalai..ingatkanlah aku.
Ya Allah aku liar…jinakkanlah aku. Aku tempang, aku capik…bimbing dan
pimpinlah aku. Sesungguhnya aku bagaikan kelawar buta yang disimbah
sinarMu yang melimpah.

Namun ya Allah..aku belum berputus asa. Rasa berdosa inipun sudah
sebesar rahmat. Hati yang masih boleh merintih petanda ia masih
bernyawa. Masih berdenyut nadi kebenaran walaupun getarannya terlalu
lemah. Masih ada titik kecil dalam jiwaku buat menampung peringatan
dariMu. Aku sykur wahai Tuhan…kerana aku sedar selama ini aku tidak
bersyukur.

Kini ku atur pelayaran baru…dengan kolekku bertampung seribu. Dayungnya
pernah patah. Layarnya koyak rabak…dilaut luas ombak mengganas, badai
bertiup buas. Namun aku akan terus berkayuh. Aku yakin KAU tidak jemu
padaku selagi aku tidak berputus asa dengan-Mu. Dengannya akan kuburu
taubat yang belum terlambat. Aku tidak akan mengah dan lelah lagi.
Kerana bekalku kini harapan, bernafas dengan janjiMU tentang pengampunan.