Malu aku mengaku, aku sebagai pejuang. Sungguh malu aku mengaku aku seorang yang tegar. Sungguh amat memalukan bila aku menggelarkan diriku pejuang yang inginkan syahid, namun aku gagal melawan kehendak nafsu yang menggoda, memalaskan dan menjadikan aku berat untuk bangkit.
Malu aku bilamana ada perkara yang aku arahkan belum pula aku lakukan. Malu aku bila gagal berjuang melawan kepayahan bangun qiam dan subuh. Sungguh aku malu. Malunya rasa hati bila melaungkan takbir dengan penuh semangat andai fizikalku tidak bersemangat. Hipokrit. Kejam pada diri.
Aku akan dilaknat surah As-Saff :
2. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak melakukannya!
3. Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu
yang kamu tidak melakukannya.
Malu aku bila berhadapan dengan ramai, aku berani untuk tampil, namun aku takut untuk bersuara. Malu aku untuk menggagahi diri bertanyakan sesuatu yang kurang ku ketahui, sedang aku mengaku aku memperjuangkan syiarNYA, (bukankah pejuang syiar itu berani dalam apa keadaan sekalipun? ). Bertanya pun aku takut dan malu, apatah lagi berhadapan dengan musuh-musuh yang amat bengis wajahnya. L
Malunya aku. Bila pergerakan seperti seorang yang hebat, seperti orang yang berani. Padahal memegang senjata saja aku takut, kononnya nanti cedera, luka dan terhiris. Malunya aku bila lidahku petah berkata-kata. Menyeru kepada itu dan ini. Namun, aku berat jua melakukan. Sungguh memalukan. Konon mengaku ingin syahid.
Malu aku, andai nanti ditanya DIA. Apa harus ku jawab? Malu aku berhadapan dengan DIA. Malu juga aku berhadapan dengan kekasihNYA, sedangkan aku telah berjanji pada DIA, untuk membawa bebanan dakwah dan syariatNYA dan menyambung tugasan kekasihNYA, namun tiada apa yang aku sumbangkan lagi.
Malu aku bila mendengar kisah-kisah sahabat perjuangan yang hebat menentang kezaliman, boikot itu dan ini, bersuara menentang mungkar. Sedangkan aku hanya melakukan tentangan sebesar biji sawi. Ahhh, aku takut... Adakah aku takut aku akan dibenci orang? Adakah aku takut untuk disingkirkan dari kalangan masyarakat? Adakah aku takut kerana aku bakal hilang segala-galanya dari sisiku? Adakah kerana aku takut akan kehilangan insan-insan yang sangat aku sayangi?
Ya ALLAH, lemahnya aku. Seperti hadis Rasulullah s.a.w, penyakit wahan bakal menimpa umat akhir zaman. Ya, akulah antara umat akhir zaman. Namun, aku tidak mahu menjadi golongan itu. Aku tidak mahu meramaikan golongan itu. Aku tidak mahu menjadi salah seorang dari golongan itu. Aku langsung tidak mahu.
Ada sesuatu yang perlu aku laksanakan. Aku sangat perlu melaksanakan itu untuk mencapai mardhatillah. Aku perlu juga melakukan itu untuk menggapai cinta Illahi. Aku mesti melaksanakan sesuatu sepertimana yang aku cita-citakan iaitu menjadi antara para syuhada, menjadi antara golongan syurga bersama kekasihNYA yang juga aku cintai. Aku mahu menjadi golongan syurga yang sentiasa bahagia selamanya di sana.
Aku perlu bangkit untuk mendampingiNYA, memperoleh cintaNYA, mendapatkan tempat disisiNYA. Aku teringat kata-kata seorang sahabat:
Untuk dptkan syurga Allah, kena terima ujian. Untuk terima ujian,kena hadapi cabaran. Untuk hadapi cabaran,kena lakukan perubahan. Untuk lakukan perubahan,kena sentiasa bergerak & berkerja. Ramai org nak kn ujian utk dpt syurga, tp msh tidak bergerak & bekerja,memang pelik. Aku menjawab, ketakutan masih lagi menyelubungi diri. Masih dalam cengkaman takut. Kita harus keluar dari kepompong ketakutan.
Ya, masih ada takut menyelubungi. Lidah kata yakin, minda juga yakin, namun hatiku berat. Ya ALLAH...aku malu. Aku juga teringat kata-kata seorang mantan yang baru aku kenali tapi memberi semangat yang tinggi pada generasi-generasinya. Kita ini berjuang, kena bergerak, kena berperang. Jangan hanya hebat berkata-kata dalam blog, facebook. Jangan hanya petah berkata benci pada kezaliman sedangkan diri tidak bergerak di alam realiti. Memang benar kata-kata mereka. Pembakar semangat bagi aku.
Sungguh, tiadalah daya kekuatanku melainkan dengan bantuanMU, Ya ALLAH. Mengharap agar maluku juga menjadi pembakar semangat pada diri untuk bangkit dan istiqamah memperjuangkan amar makruf nahi mungkar, moga syurga milikku pastinya, InsyaALLAH.
Allah Ghoyatuna, Allah adalah tujuan kami,
Ar Rasul Qudwatuna, Rasulullah teladan kami,
AlQuran Dusturuna, AlQuran pedoman hidup kami,
AlJIhadu Sabiluna, Jihad adalah jalan juang kami,
AlMautu Fisabilillah, Mati di jalan Allah adalah,
Asma’Amanina~ Cita-cita kami tertinggi.
No comments:
Post a Comment