" Hisablah dirimu sebelum dihisab". "Kecamlah dirimu sebelum dirimu
sendiri dikecam Allah".
" Anggaplah dirimu sebagai orang yang paling berdosa". " Kalau
ditakdirkan semua manusia masuk kedalam syurga kecuali seorang….aku
rasa akulah yang seorang itu."
Demikian titipan mutiara kata orang yang hampir dengan Tuhan. Pegangan
diri para Rasul, Nabi dan Wali.
Kerana keyakinan itu lahirlah manusia seperti:
Abu Bakar - yang merasakan dirinya lebih hina daripada sehelai rumput; Umar - yang merasakan nasib seekor anjing lebih bernasib baik daripada dirinya;
Abu Huzaifah- yang sentiasa curiga dengan iman dan islamnya;
Salman al-farisi- yang merasakan maut sentiasa memburunya.
Kini kuasah rasa itu yang datang cuma sekali-sekala. Rasa yang bukan
selalu bertandang di dalam hati. Bukan mudah menghinakan diri di depan
Allah. Amat payah menekan ego dan bangga ke paras bawah. Jarang diri
mahu luahkan kata-kata pahit yang terlalu sakit untuk didengar.
Kini ku adukan, mengapa sangat memberat langkah ini menuju Allah ?
Mengapa diri seperti ditolak ke belakang dalam perlumbaan menuju
khairat(kebaikan) dan maghfirah (pengampunan)? Mengapa hati terhijab lagi
dari taufik dan pimpinan? Mengapa hati masih tertipu oleh bujukan
nafsu, terpesona dengan nikmat dunia ? mengapa fikiran seakan
tersumbat, jiwa lesu dan jasad memberat di jalan jihad ?
Ya Allah, masih adakah lagi petunjukMu buat insan yang derhaka
sepertiku? Kulakukan dosa dalam sedar dan yakin KAU Maha Melihat. Aku lawan kehendakMu terang-terangan. Ya Allah, alangkah besarnya kederhakaanku kepadaMu. Ya Allah jauhkan aku dari kekufuran dan nifaq seperti jauhnya Timur dan Barat….
Oh, aku tersepit, terhimpit diruang sempit. Di antara dua rasa yang
tidak menentu. Buat baik kurasa derita, buat jahat terasa siksa. Ku cuba
membenci dunia tetapi kecintaan akhirat belum terasa. Mujahadahku
memberat, sarat dengan pelbagai rintangan. Ammarah dan lawwamah silih
berganti membunuh kecintaan Ilahi yang datang sekali-sekala. Mungkar
dan maksiat menenggelamkan secebis nikmat yang pernah dikecap dari munajat dan doa.
Inilah rintihan, oleh hati yang kian tertekan. Dari diri yang amat
resah, amat gelisah. Jiwa disayat dek sembilu tajam. Terbenam di dalam
luka yang paling dalam. Membuak darah, membengkak nanah yang parah.
Bisanya sampai ke hulu hati. Membakar jiwa yang gersang daripada semua
ketenangan dan ketenteraman. Dunia dipandang gelap. Walau mentari,
bulan dan bintang masih menebar sinar..tetapi matahati sudah nanar. Jiwa kian buta. Kian goyah taufik dan hidayah….
Oh..mengapa sehitam itu lorong hidupku.
Ku cari punca masalah hingga tafakurku terganggu jemu. Apakah ini
pencarian sesat memberat penat ? Apakah ini resah rasa yang makin
menanah mendenyut bisa ? Telahku tinggalkan permulaan jalan, telah
habis dayaku melangkah tetapi hujungnya masih jauh. Aku sesat dalam rimba
keliru beribu liku. Apakah aku yang berjalan atau jalan yang berjalan ?
Aku sangsi. Aku mahu lari ke hujung dunia. Mahu ku lontar jauh-jauh
Pilu dan duka ini. Mahu ku banting masalah yang memeningkan ini. Biar duka yang membengkak ini pecah…Biar memancut bisanya yang bergaul pedih. Aku tidak peduli.
Kadang aku termenung meminta jawapan hati kepada semua ini. Di mana
puncanya? Di mana tapak mula semua keserabutan ini. Aku mengadu kepada
Allah. Dia menjawab melalui sabda Rasul-Nya:
" Sesungguhnya yang dikatakan dosa itu ialah sesuatu yang mendatangkan
keresahan hati"
Tetapi pelik aku mungkiri janji itu. Aku langgar lagi pantang larangNya.
Ku tempuh lagi jalan dosa. Aku tidak punya kekuatan untuk bertindak. Aku
terbelenggu oleh nafsuku. Dan ketika itu datangkan firman Allah ini
mengingatkan :
" Apakah tidak kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
Tuhan"
Ku baca berkali-kali firmanMu itu. Aku bertuhankan nafsuku? Bunyinya
amat pedih dan pahit.
Ya Allah aku sakit…sembuhkanlah. Ya Allah aku lalai..ingatkanlah aku.
Ya Allah aku liar…jinakkanlah aku. Aku tempang, aku capik…bimbing dan
pimpinlah aku. Sesungguhnya aku bagaikan kelawar buta yang disimbah
sinarMu yang melimpah.
Namun ya Allah..aku belum berputus asa. Rasa berdosa inipun sudah
sebesar rahmat. Hati yang masih boleh merintih petanda ia masih
bernyawa. Masih berdenyut nadi kebenaran walaupun getarannya terlalu
lemah. Masih ada titik kecil dalam jiwaku buat menampung peringatan
dariMu. Aku sykur wahai Tuhan…kerana aku sedar selama ini aku tidak
bersyukur.
Kini ku atur pelayaran baru…dengan kolekku bertampung seribu. Dayungnya
pernah patah. Layarnya koyak rabak…dilaut luas ombak mengganas, badai
bertiup buas. Namun aku akan terus berkayuh. Aku yakin KAU tidak jemu
padaku selagi aku tidak berputus asa dengan-Mu. Dengannya akan kuburu
taubat yang belum terlambat. Aku tidak akan mengah dan lelah lagi.
Kerana bekalku kini harapan, bernafas dengan janjiMU tentang pengampunan.
No comments:
Post a Comment